Get Mystery Box with random crypto!

Istiqamah Belajar Memahami Al-Qur'an, Amalkan Isi Kandungannya | عباد الرّحمـٰن

Istiqamah Belajar Memahami Al-Qur'an, Amalkan Isi Kandungannya dan Berkongsi Kebaikannya

Allah menyatakan tujuan penurunan al-Qur’ān menerusi firman-Nya:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

(Al-Qur’ān ini) adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muḥammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, supaya mereka (umatmu) berusaha untuk (mentadabbur) belajar memahami dengan teliti isi kandungan ayat-ayatnya, dan supaya orang-orang yang berakal sempurna dapat mengambil pengajaran.
[Sūrah Ṣād (38) ayat 29]

Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang bertanya kepada para hamba-Nya yang enggan berusaha memahami kalam-Nya menerusi firman-Nya:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Kenapakah mereka tidak mahu berusaha untuk (mentadabbur) memahami serta memikirkan isi kandungan al-Qur’ān? Atau sebenarnya telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Qur’ān)?
[Sūrah Muḥammad, (47) ayat 24]

Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – menyatakan betapa mulianya orang yang berusaha mempelajari, memahami dan mengajar serta menyebarkan al-Qur’ān menerusi sabdanya:

خيركم من تعلّم القرآن وعلّمه

Yang terbaik daripada kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Qur’ān dan mengajarkannya.
[Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy, 4639]

Semoga Allah terus merezekikan kita untuk mempelajari kalam-Nya (al-Qur’ān) yang mulia serta mengamalkan isi kandungannya selagi hayat dikandung badan, InshaAllah. Ketahuilah sesiapa yang telah berniat untuk hadir mempelajari al-Qur’ān yang mana hal tersebut telah menjadi rutin kebiasaannya, namun satu ketika ia terhalang untuk melakukan hal tersebut oleh kerana sebab-sebab yang telah ditentukan Allah. InshaAllah... semoga Allah mengurniakan ganjaran yang serupa di atas niat murninya tersebut.

Daripada Abu Musa, daripada Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Jika seorang hamba itu sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana amalan kebiasaan yang dia lakukan ketika bermukim dan ketika sihat.
[Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy, 2996]

Ibn Hajar Al-Asqalani mensyarahkan ḥadīth ini dengan menyatakan:

وَهُوَ فِي حَقّ مَنْ كَانَ يَعْمَل طَاعَة فَمَنَعَ مِنْهَا وَكَانَتْ نِيَّته لَوْلَا الْمَانِع أَنْ يَدُوم عَلَيْهَا

Ḥadīth di atas berlaku untuk orang yang ingin melakukan amalan ketaatan namun dia terhalang daripada melakukannya (atas sebab-sebab yang tertentu). Sedangkan dia sudah berniat untuk melakukannya, dan sekiranya tiada halangan tersebut, amalan itu pasti akan dijaga dan dilakukan seperti kebiasaan.
[Fatḥ al-Bārīy, 6:136]

Sabda Nabi – ṣallalLāhu ‘alayhi wa sallam:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ

Wahai sekalian manusia berusahalah mengerjakan amalan kebaikan selagimana kamu termampu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan pernah jemu untuk (mengurus, menerima dan memberi ganjaran atas usaha perbuatanmu) sehingga kamu kelak yang akan merasa jemu, (ketahuilah) sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (yakni amalan ṣaḥīḥ yang menjadi rutin kebiasaan) walaupun sedikit.
[Ṣaḥīḥ al-Bukhārīy, 5413]

Allah ta‘ala tidak akan menzalimi para hamba-Nya. Setiap amalan baik dan buruk akan dinilai secara adil walau seberat zarrah sekalipun, oleh itu janganlah kita pernah meremehkan nilai pahala dan dosa walau sekecil-kecilnya.

Firman Allah ta‘ala:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan menzalimi (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). (Bahkan) jika (amalannya yang seberat zarrah) itu merupakan amalan kebajikan, nescaya Allah akan menggandakannya dan akan memberikan dari sisiNya, pahala yang amat besar.
[Sūrah An-Nisā’, (4) ayat 40]